Wednesday, 4 April 2012

Sambungan Novel Sesuci Kasih Solehah- Part 5- Dia Solehah

  Siti Solehah binti Haji Kamaruddin. Itulah nama yang sering berlegar-legar dalam ingatan Danial kerana wanita ini sebenarnya merupakan insan yang cukup meruntun dan mampu merobohkan ego mana-mana lelaki yang mengenalinya. Mungkin jua Solehah merupakan seorang bidadari yang dianugerahkan Allah untuk seseorang yang ketandusan kasih sayang dan juga buntu dalam melayari bahtera kehidupan dengan penuh kesederhanaan dan kesopanan. Dari lagak gayanya tak ubah seperti wanita-wanita muslimah yang lain tetapi disebalik senyumannya yang tidak pernah putus menguntum itu dia sebenarnya seorang pahlawan serikandi!

Perkara yang paling membuatkan Danial begitu teruja dan terpesona dengan Solehah adalah tatkala apabila melihat kelibat wanita itu yang memanjat pohon kelapa untuk mengambil buah kelapa buat jiran rumahnya. Mengagumkan! Walaupun pohon kelapa dirumahnya tidaklah terlalu tinggi dan besar namun Danial bagaikan terpaku kerana melihat Solehah yang tanpa segan silu dan apatah lagi rasa takut untuk memanjat pohon kelapa itu. Hakikatnya,Danial sendiri sebenarnya tidak pandai memanjat pohon kelapa walaupun merupakan anak kampung sejati. “Dalam hidup ini kalau kita tidak mencuba sesuatu perkara atau benda yang baik untuk kita,rugilah sangat!” Seloroh Solehah pada Danial yang kelihatan merah padam.

Namun,hakikat namanya manusia itu tidak akan dan tidak boleh lari dari kekurangan dan kelemahan yang sememangnya ada pada makhluk ciptaanNya. Solehah sebenarnya seorang wanita yang sangat alergi terhadap bunga. Solehah tidak suka akan bau bunga-bunga yang ada dirumah mahupun kampungnya. Hidungnya cukup sensitif dengan bau bunga sehingga kadangkala ibunya cukup pelik dan rimas dengan anak daranya itu. Pernah juga suatu ketika dulu,Solehah mendapat tempat pertama dalam kelasnya dan menerima sekuntum bunga ros merah dari pelajar lelaki kelasnya namun tidak semena-mena Solehah pengsan!
Setelah diberitahu,barulah semua rakan-rakannya tahu yang Solehah sangat alergi pada bau bunga. Habis riuh satu kelas tatkala mendengar berita tersebut! Solehah hanya diam tanpa kata-kata. Hanya senyuman dan raut wajahnya yang member jawapan. Danial juga antara insan yang pertama dan terawal mendapat penampar sejati dari Solehah dek kerana memberi sejambak bunga ros putih pada ulangtahun harijadi Solehah. Solehah betul-betul malu dengan apa yang dibuatnya tetapi itulah hakikatnya buat insan bernama Siti Solehah binti Haji Kamaruddin!  Dia cukup alah dengan bau bunga! Danial hanya mampu tersenyum pedih tatkala itu. Itulah akibatnya kalau tidak mengenali betul-betul seseorang itu.

Perjalanan hidup Solehah bagaikan sebuah drama swasta yang sangat ironi dengan jiwanya. “Biarlah jatuh ataupun runtuh semua bintang-bintang dan planet-planet di angkasa itu,aku tidak akan pernah berganjak dan berundur dengan apa yang telah aku pacakkan selama ini melainkan dengan kehendak Ilahi. Insyaallah! Akan aku menjadi manusia yang sentiasa berada pada setiap kedukaan dan kesedihan manusia tetapi biarlah aku tiada pada setiap bau-bau kebahagiaan dan kesenangan kerana itu hanya akan melalaikan dan melupakan aku pada Penciptaku.” Itulah ungkapan yang sering diucapkan oleh Solehah pada keluarganya mahupun Danial tatkala dia kehilangan adiknya tercinta. Prinsip dan pegangan hidup itulah yang telah mematangkan Solehah dalam menangani masalah dan dugaan. Semangat dan kekuatan itu masih lagi kuat menyala dalam obor jiwanya pada saat ini. Walaupun percintaannya dengan Danial seringkali diduga dengan pelbagai masalah tetapi Solehah menganggap itulah tandanya Allah ada dekat dengan cintanya.

Jika dilihat pada mata kasar manusia lain mungkin percintaan mereka kelihatan perit dan penuh dengan kesukaran tetapi hakikatnya hanya Solehah dan Danial yang mampu merembeskan rasa dan perasaan cinta mereka kerna bait-bait indah  dan gembira mereka adalah apabila dapat menyenangkan dan membahagiakan keluarga masing-masing.

                                       ***********************************

Saturday, 28 January 2012

Sambungan Novel Sesuci Kasih Solehah- Part-4- Derita Merindu

   Hari yang Solehah nanti-nantikan akhirnya telah pun menjelma. Barang-barang dan peralatan yang sepatutnya dia bawa telah pun dirapikan. Terpancar perasaan sugul dan sedih diwajah kedua ibubapanya yang sudah Solehah jangkakan. Pada Solehah, dia mahu kepergiannya kali ini bukanlah cubaan untuk melarikan diri dari menjalankan tanggungjawab kepada kedua ibu bapanya tetapi sesuatu usaha untuk memberikan lebih banyak kebaikan dan kesempurnaan pada keluarganya.
Kelibat sebuah teksi merah putih sedang menunggu dihalaman rumah Solehah yang begitu kemas dan bersih ditambahkan lagi dengan bunga-bunga yang tumbuh mekar dan segar itu. Angin-angin yang berterbangan dan menjalar disegenap tubuh membuatkanku bertambah sayu dan kaku untuk meninggalkan kedua orang tuaku. Entahla perasaan apa yang menembakku ini dan ianya lebih teruk daripada saatku meninggalkan kampung halaman ini untuk menyambung pengajianku di Indonesia.
Mungkin inilah yang dinamakan kasih sayang yang suci serta pengorbanan yang aku kirakan sebagai suatu ibadah buat keluarga dan masyarakatku. Mana mungkin aku menolak peluang yang hanya muncul seketika ini dan tidak mungkin akan aku perolehi pada masa depan. Ya,memang benar rezeki itu bukan datang dari tangan kita tetapi jikalau kita tidak berusaha untuk mendapatkannya mana mungkin jua ianya akan terbang sewenang-wenangnya ke muka kita. Pekerjaan ini sememangnya sebuah idaman dan harapanku sejak dari aku menjejakkan kaki di menara gading lagi. Membantu dan menyelamatkan orang-orang yang memerlukan pertolongan merupakan perkara yang menarik dan baik padaku. Ianya dapat mengajarku erti kesusahan dan belajar untuk menghargai kehidupan pinjaman sementara ini.
Puan Umi Kalsom Binti Norizam. Merupakan seorang ibu tunggal yang mempunyai hanya seorang putera yang sangat disayangi iatu Danial! Beliau merupakan seorang surirumah yang kemas dan teliti dalam memastikan keadaan rumah tangganya dalam keadaan baik dan sempurna. Mahligai indah yang terletak di tengah-tengah sawah padi di Kampung Kuala ini telah terselit seribu satu kedukaan dan cerita yang membuatkan surirumah itu menjadi sehebat dan setabah itu. Tak salah kalau Danial begitu mengasihi dan mengabdikan dirinya kepada bondanya yang tercinta itu. Apa saja yang keluar dimulut bondanya itu sudah pasti Danial akan patuh dengan taatnya. Begitulah betapa kuatnya ikatan kasih sayang diantara Danial dan uminya.
Namun, disebalik limpahan kasih sayang dan kebahagiaan yang Danial terima sebaliknya bondanya tersangatlah merindui lelaki yang menjadi suaminya yang pertama serta terakhir kali. Kehilangan suami tercinta telah melenyapkan segala rasa dan nada Puan Kalsom dalam menjalani kehidupan seharian. Dia menyangka hujan sampai kepetang tetapi berhenti di tengahari. Derita merindu yang menjalar dihati Solehah seolah-olah mengerti dan memahami dengan perasaan umi Kalsom juga. Kedua-dua jiwa ini begitu mengharapkan agar rindu yang menjadi penyakit pada hati mereka akan segera sembuh dengan penawar yang mampu menyembuhkan penyakit itu dan yang pasti penawarnya ialah Danial!
Umi Kalsom merasakan yang keluarganya belum cukup lengkap dan sempurna tanpa kehadiran seorang insan yang bernama SUAMI dan BAPA. Danial hanya mampu menagih kasih sayang dari seorang ibu tetapi beliau tidak mengenal apa rasanya kasih seorang ayah ataupun bapa. Itulah perkara yang membuat uminya tersangat kecewa. Impiannya untuk membesarkan puteranya itu dengan suami tercinta tidak kesampaian. Bukan dia cuba untuk menolak dan menafikan kuasa Allah tetapi hatinya sedih,pedih dan perit bila mengenangkan dirinya yang terkapai-kapai bagai layang-layang yang terputus talinya mencari jalan hidup disamping membesarkan anaknya itu. Kini,setelah 20 tahun sejarah itu berlalu namun deritanya itu masih lagi berterusan dan dia cuba untuk menyorok perasaan itu tanpa pengetahuan Danial. Biarlah derita merinduinya itu hanya hati dan dirinya yang mengetahui.  Penyakitnya yang kian kritikal dan tidak terkawal itu mungkin akan menjauhkan lagi ikatan kasih yang cuba Solehah jalinkan. Solehah tidak mampu mencegah perasaan sedih dan terkilan dengan apa yang telah melanda Umi Kalsom.
Sungguh berat dugaan yang Umi Kalsom terima semenjak dari Solehah kenalinya. Dimanalah kekuatan dan ketabahan yang Danial dapat dalam melayari kehidupan seharian itu. Walaupun kini Danial dan bondanya hidup umpama  didalam guni yang dipenuhi beras namun itu tidak cukup lagi untuk menjamin kebahagiaan keluarganya.

                                                  ------------------------------------

Wednesday, 18 January 2012

KR1M: Apa Kata Anda

Seperti kita sedia maklum,Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum dan sangat majmuk dari masyrakatnya. Tiga kaum utamanya dibumi bertuah Malaysia ini iatu Melayu,India dan Cina merupakan aset dan lambang kesatuan rakyat Malaysia. Oleh itu,seruan yang dilaungkan Perdana Menteri Malaysia yang ke-5 iatu Dato Seri Najib Bin Tun Razak tentang gagasan 1Malaysia merupakan suatu idea dan kombinasi yang bijak dari beliau. Beliau mahukan kesatuan dan pepaduan yang sudah 54 tahun bersemadi dan mekar dibumi  suci Malaysia ini terus kukuh dan utuh dari segala anasir-anasir dan ancaman luar.Bak kata pujangga,“bersatu kita teguh,bercerai kita roboh”!.

Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M)? Apakah itu? Adakah ianya salah satu propaganda kerajaan? Atau hanya gimik semata-mata?. KR1M merupakan sebuah perlaksanaan dan idea yang dikeluarkan oleh kerajaan negara Malaysia bagi membantu mengurangkan beban rakyat dari segi pembelian barang-barang runcit terutamanya isi barang-barang keperluan dapur. Ianya kelihatan seperti sama sahaja dengan kedai-kedai runcit lain tetapi hakikat dan tafsiran itu adalah salah sama sekali! Apakah keistimewaan KR1M sehingga ianya menjadi pilihan rakyat?

Disini ingin saya tegaskan yang KR1M merupakan suatu kedai dimana ianya menyediakan barang-barang runcit yang menarik dengan harga mampu beli yang berpatutan serta bersesuai. Justeru itu,secara tidak langsung ianya dapat mengurangkan beban isi keluarga yang berpendapatan rendah. Tepatlah dengan usaha dan slogan kerajaan yang mahukan rakyat didahulukan dari segala segi dan aspek baik terutamanya pendidikan mahupun kesihatan. Ini terbukti melalui penubuhan Klinik 1Malaysia serta segala yuran persekolahan yang dimansuhkan bermula sesi 2012. Ini jelas menunjuk kerajaan Malaysia bersungguh-sungguh dalam membantu rakyat.

KR1M juga bukan saja mampu menyelamatkan rakyat tetapi ianya juga dapat memberi dan membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat sebenarnya. Ianya umpama serapang dua mata kerajaan dalam memastikan rakyatnya menjadi keutamaan negara. Itulah penyebabnya kerajaan mahukan KR1M ini terus berkembang diseluruh Malaysia dan menjadi kepercayaan dan mata serta telinga kerajaan bagi membasmi kemiskinan dan beban seluruh rakyat Malaysia. Tiada lain yang dimahukan oleh kerajaan selain melihat rakyatnya terus selesa dan aman ditanah tumpah mereka sendiri.



Disamping itu,KR1M juga merupakan aset yang mampu memberi pulangan yang terbaik buat rakyat kerana barangan  runcit yang terdapat di KR1M adalah setanding dengan barang-barang yang terdapat  di kedai lain. Kualitinya yang terjamin dan maklumbalas dari orang ramai yang datang membeli di KR1M sangat berpuas hati dengan kualiti dan kuantiti produk KR1M. Bahkan ianya jauh lebih baik berbanding dikedai runcit biasa. Inilah yang dikatakan “ genggam bara biar sampai jadi arang” dan bukannya hanya hangat-hangat tahi ayam sahaja.

Jadi pada saya,KR1M merupakan suatu usaha dan idea yang sangat bernas dan bertepatan kerana ketika Negara sedang menghadapi peningkatan ekonomi yang sangat perlahan akibat kesan kejatuhan nilai mata wang (Dollar) Amerika Syarikat. Tetapi hakikatnya, Malaysia masih lagi mampu berdiri sama tinggi dengan negara-negara  maju lain. Inilah suatu perancangan jangka panjang yang bijak dan telus oleh kerajaan Malaysia. Mampu untuk menstabilkan ekonomi negara dalam krisis yang masih berlarutan disamping menjamin kesejahteraan rakyat.

Selain itu, saya juga melihat yang disebalik kebaikan dan faedah yang rakyat perolehi dari KR1M,ada juga kekurangan dan kelemahan yag boleh diperbaiki antaranya dengan penubuhan KR1M ianya akan mengancam periuk nasi peniaga-peniaga kedai runcit lain. Tetapi pada saya,itu bukanlah alasan dan punca untuk menolak KR1M semudah-mudahnya. Sebaliknya,peniaga-peniaga runcit sepatutnya mengambil perkara ini sebagai cabaran untuk memperbaiki segala kekurangan dengan memperbaiki perkhidmatan yang lebih baik serta pengeluaran barang-barang dan produk yang lebih baik dan inovasi. Inilah yang dinamakan sebagai persaingan yang sihat.

Begitulah penangan KR1M pada rakyat Malaysia terutamanya. Dengan perkhidmatan yang begitu mesra dan ramah telah berjaya menawan hati seluruh rakyat Malaysia yang datang ke KR1M ini. Walaupun ianya seringkali dicemuh oleh pihak pembangkang kerajaan namun ia tetap tidak menjadi kudis dan parut pada usaha murni kerajaan ini. Semakin banyak lemparan negatif yang diterima semakin KR1M menjadi pilihan dan popular. Begitulah kata-kata Perdana Menteri pada sebuah akhbar baru-baru ini.

Akhir sekali,saya sebagai seorang rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan perpaduan di negara ini ingin menyeru rakyat Malaysia supaya bersama-sama menyokong dan mendokong segala usaha yang dijalankan oleh kerajaan Malaysia kerana ianya sangat berbaloi dan sangat boleh dipercayai dibawah payuang kepimpinan Perdana Menteri sekarang. Saya sebagai pendokong gagasan 1Malaysia bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negara kerana telah berjaya mengubah landskap ekonomi,politik dan pendidikan dinegara ini.


Moga segala kemudahan dan kesenangan yang diberikan oleh kerajaan ini akan terus kekal selama-lamanya. Moga-moga segala usaha murni ini terutamanya KR1M ini mampu membuka mata dan hati rakyat Malaysia betapa kerajaan mengutamakan segala kebajikan rakyatnya. Tanpa rakyat,siapalah mereka di atas sana. Sekaligus,menutup mulut-mulut jahat yang mempersoalkan kewibaaan Perdana Menteri Malaysia sekarang yakni Dato Seri Najib Tun Razak yang memayungi tampuk pemerintahan negara Malaysia. Syabas! Tahniah Dato Seri! Salam 1 Malaysia!


 Contest Entry Terbaik – KR1M : Apa Kata Anda ini dibawakan oleh WootMedia Network dan ditaja oleh Portal Berita MyNewsHub